Monday, November 9, 2009

Kayu vs Batu



Semalam, ke Sungai Mati Muar untuk menemui pelanggan sekitar jam 3 petang. Dari rumah memasuki lebuh AMJ dan susur kiri keluar Parit Perawas, Sungai Rambai. Melewati kawasan kampung dan ladang sawit sebelum melintasi jambatan penyambung sempadan Melaka - Johor di Sungai Kesang. Terbentang sawah yang menghijau dan sebahagian masih bertakung air penanda awal musim menanam benih padi.

Mudah dan selesai berurusan kira-kira 30 minit kemudian beransur pulang. Perut belum terisi, jadi dalam perjalanan pulang ke Melaka saya cuba-cuba mencari gerai tepi jalan berjualan santapan ringan dan basahan tekak. Ada satu gerai saya spotted untuk disinggah ketika dalam perjalanan pulang betul-betul ditepi tali air berhadapan sawah - Kampung Kesang Tasek namanya.

Tiada banyak pilihan dan terus memilih laksa dan air limau segelas. Sementara laksa disediakan, saya capai balang plastik berisi kerepek goreng rupa muruku adunan tepung beras. Makanan orang Jawa mungkin. Rangup dan sedap dimakan begitu sahaja walaupun sipenjual mempelawa pencicah sambal dan sos.

Disebelah meja ada seorang pelanggan sekitar umur 50 an' yang sedang melayan berbual dengan sepasang pengunjung di meja hujung. Rancak dari topik motor klasik jenama Honda 50cc tahun 50 an', skuter, kereta Mini dan Fiat 500 . Selit cerita moyangnya jual kereta pada harga RM50 sekitar tahun 60 an kereta Mini model pertama; bertukar topik minatnya sehinggakan ke Bagan Dato Perak bagi mencari kereta Mini namun enggan dijual kerana besar kegunaan termasuk mengangkut hasil kelapa.

Kawan yang 'beregu' cuma angguk-angguk kepala, tekun mendengar sambil menambah-nambah 'perisa'. Hi hi hi...suasana kampung, apa lagi nak dibuat dihujung minggu sambil lepak-lepak, berbual kosong. Modal secawan dua air dan rokok dua tiga batang.

Tiba-tiba berpindah topik pembinaan rumah dari bahan kayu cukup menarik minat aku yang leka layan "blues tepi sawah".

Terdengar cerita kenalan pemain 'single' itu membeli rumah kayu di Terengganu pada modal RM3 ribu. Tanggalkan dan bawa pindah ke pekan Sungai Rambai di sebelah Mini Market dan dipasang semula dengan penambahan. Sedang rancak disiapkan dan menjadi focal point atau landmark di pekan koboi tersebut.

Katanya kayu jenis Belian adalah yang terbaik mengalahkan Chengal dalam membina rumah kayu. Sebuah rumah milik seorang pemimpin kampung di Bagan Dato berasaskan kayu Belian termasuk atapnya. Bahan kayu diperoleh dari Semarang Jawa Tengah, berkapal-kapal dengarnya.

Tuan punya gerai 'tumpang semangkuk' mengakui kekuatan kayu Belian yang menjadi pilihan masyarakat Pribumi Sawarak membina rumah panjang - disaksikan ketika bertugas di sana. Mungkin pesara anggota keselamatan melihat susuk tubuh tegap dan wajah serius.

Satu ketika dulu, kata orang kalau rumah dibina berasas batu bata terus dirujuk sebagai "orang kaya" namun tidak lagi sekarang. Hendak dibina rumah banglo berasaskan kayu kayan pada hari ini, memerlukan bajet besar. Bahan satu hal, kerja tukang pun perlu ambilkira. Kerja halus dan paling tak tahan penjagaan. Cuaca Tropika mencabar ketahanan binaan. Mementingkan nilai estetika.

Pergh!!! Dah macam ulasan majalah dekorasi.

Sesi 'Hujah' terhenti apabila pasukan bergu memohon beransur diri. Ingatkan dah habis, bersambung pula sesi 'Penggulungan' antara pemain single dan tuan punya gerai. Masih lagi topik rumah kayu vs rumah batu!

Ha ha ha...sebelum aku menjadi 4th debater, segera aku panggil tuan punya gerai dan RM4.50 bertukar tangan. Kalau tidak, entah-entah jam berapa aku boleh mengangkat punggung...

Kredit Imej : sabahforest - pokok tualang.

No comments:

Post a Comment